22 July 2012

Sup dan bubur cara diet LEE CHONG WEI

Jagoan itu tekad sumbang emas pertama untuk negara

Bath, United Kingdom: Sup panas dan bubur nasi antara diet utama jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali menjelang kempen Olimpik London bermula, Sabtu ini. Chong Wei - harapan 27 juta penduduk Malaysia untuk pulang dengan pingat emas pertama negara berkata, kecederaan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada dirinya.
“Saya baru kembali daripada kecederaan dan tekanan (untuk pingat emas) sedikit berkurang. Ini adalah Olimpik terakhir saya jadi saya mahu menyumbangkan pingat buat negara saya,” kata Chong Wei yang turut terlepas ranking nombor satu kepada musuh ketatnya, Lin Dan dari China ketika tempoh pemulihan.

“Tekanan belum terasa lagi kerana masih ada tempoh seminggu. Mungkin selepas tiba di London saya akan mula merasakan suasana Olimpik dan baru tekanan mula terasa.”

Chong Wei melonjak ke tangga teratas dunia pada 2008 selepas Olimpik Beijing, tetapi pencapaiannya itu dibayangi kegagalan merebut emas dalam pertembungan final dengan Lin Dan.

“Pingat emas akan melengkapkan karier saya. Saya tidak mempunyai emas Olimpik, negara saya tidak pernah mendapat emas Olimpik. Emas ini amat penting buat saya dan negara saya,” kata pemain 29 tahun itu.
Kontinjen badminton negara berkampung di Bath sebelum bertolak ke London dan masih bergelut menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sana. “Cuaca begini sudah cukup sejuk bagi Malaysia, jadi kami memerlukan sup herba, bubur dan nasi panas. Kami bawa tukang masak sendiri,” kata pakar pemakanan pasukan, Chai Wen Jin. - AFP

sumber utama - BERITA HARIAN